DR Maszlee menyampaikan Anugerah Menteri Pendidikan kepada Muhammad Syafiq sempena Anugerah Tokoh Siswa 2018 di USIM, Nilai, Negeri Sembilan. Turut bersama Nie Ching dan Siti Hamisah (tiga dari kanan). FOTO Iqmal Haqim Rosman
DR Maszlee menyampaikan Anugerah Menteri Pendidikan kepada Muhammad Syafiq sempena Anugerah Tokoh Siswa 2018 di USIM, Nilai, Negeri Sembilan. Turut bersama Nie Ching dan Siti Hamisah (tiga dari kanan). FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENUNTUT Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Syafiq Rahmat, 24, ditabalkan sebagai penerima Anugerah Menteri Pendidikan sekali gus bergelar Tokoh Siswa Kebangsaan pada Anugerah Tokoh Siswa 2018 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), malam tadi.

Terdahulu, anak jati Kempas, Johor Bahru itu memenangi Anugerah Pemimpin Program Sukan yang membolehkannya memenangi anugerah utama disampaikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian & Keselamatan Komputer) itu ditabalkan pemenang sebaik menampilkan kepimpinan sebagai Presiden Mahasiswa Johor dengan menganjurkan Global Outreach Programme Gop @ Europe iaitu di London, Paris, Amsterdam dan Milan.

Dia menerima RM3,000, trofi dan sijil turut menganjurkan program sama di Shanghai dan Beijing, China selain pernah memenangi Anugerah Pemimpin Program Sukan Terbaik 2018 anjuran universiti, Anugerah Sukarelawan Pembangunan Belia dan Anugerah Naib Canselor.

Muhammad Syafiq berkata, program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah medium terbaik menghargai sumbangan mahasiswa sepanjang berada di kampus.

"Kementerian mengiktiraf mahasiswa menerusi 15 kategori dipertandingkan. Bagi saya, anugerah ini amanah yang memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk berkhidmat pada masyarakat," katanya.

Menurutnya, mahasiswa adalah aset penting negara yang bakal merencanakan kepimpinan suatu hari nanti dan bermula saat ini perlu menawarkan apa yang terdaya.

"Sekalung penghargaan buat ibu bapa, Menteri Pendidikan, pihak universiti dan sahabat yang memberikan sokongan atas kejayaan ini," katanya.

Ketika berucap, Maszlee berkata, pemilihan pemenang mengambil kira pembabitan mahasiswa dalam program, pencapaian akademik dan sahsiah diri.

"Selaras aspirasi KPM untuk melahirkan insan yang holistik, penganugerahan ini mampu menjadi wadah kepada mahasiswa untuk menonjolkan sifat kepimpinan serta bergiat lebih aktif dalam pelbagai aktiviti," katanya.

Pada program itu, Anugerah Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar menjadi milik penuntut Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM), Afifah Abdul Shukor, Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman (Mohd Aswan Mohd Amin, Unisza), Anugerah Pemimpin Fakulti/ Persatuan/ Kelab (Amir Firdaus Eddy Rosyadie, Universiti Malaya), Anugerah Pemimpin Badan Beruniform (Nur Najjah Abd Manas, USM), Anugerah Pemimpin Program Keusahawanan (Muhammad Ziyad Mohd Yazid, Unisza) dan Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan (Jerry Yacob).

Anugerah Pemimpin Program Sains, Teknologi dan Inovasi dimenangi Muhammad Nurfiqri Mohd Hajar (UniMAP), Anugerah Pemimpin Program Pengucapan Awam (Nur Adibah Ahmad Zamri, UPSI), Anugerah Pemimpin Wacana Intelek (Abdul Kadir Shah Sahibudeen, UM), Anugerah Pemimpin Pelajar Antarabangsa (Aditya Hutama Iswardi (UPM), Anugerah Pemimpin Kesejahteraan Komuniti (Mohd Haffis Teh, UKM), Anugerah Pemimpin Alam Sekitar (Tan Chun Tat, UKM), Anugerah Pemimpin Sukarelawan Terbuka (Muhammad Irsyad Zaini (UM) dan Anugerah Pasukan Sukarelawan Terbaik (Umission Club, UIAM).

Semua pemenang menerima RM1,000, trofi, biasiswa tokoh siswa dan sijil yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Sebagai tuan rumah, USIM tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa pulang dua Anugerah Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi membabitkan pasukan Debat Bahasa Arab dan individu, Muhammad Syafiq Suhaimi selaku johan Pidato Dwibahasa Ihtifal Asean.

Hadir sama ke program itu, Timbalan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Kamel Mohamad, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Profesor Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 3:15 PM