GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis merampas dadah kanabis seberat 12,926 gram yang disembunyikan di dalam tiga beg di sebuah stor di Jalan Kerinchi, Pantai Dalam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, sepasukan anggota Team Task Force dari Balai Polis Pantai Dalam menjalankan pemeriksaan di stor itu pada jam 12.30 tengah hari hasil maklumat diterima.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan menjumpai tiga beg di dalamnya mengandungi dadah kanabis bernilai RM32,315.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 4,308 pengguna dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti ahli sindiket terbabit dan sumber bekalan yang diperoleh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan rampasan dadah ini boleh menyalurkannya ke talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 1:14 PM