DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menyaksikan salah satu MoU yang dimeterai pada majlis Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) hari ini.
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) menyaksikan salah satu MoU yang dimeterai pada majlis Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) hari ini.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) menjadi hala tuju yang akan menjadi rujukan bagi mencapai agenda besar berkaitan Bumiputera.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia juga akan berperanan memastikan kesinambungan kepada dasar dan inisiatif pemerkasaan Bumiputera terdahulu dengan penyesuaian semasa.

Katanya, TPB2030 menggariskan strategi jelas melalui program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta didukung Rancangan Malaysia Ke-12 yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.

"Secara amnya, TPB2030 mengenalpasti enam sasaran utama untuk dicapai menjelang tahun 2030.

"Sasaran ini bakal dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan serta Pelancongan," katanya pada Majlis Pelancaran TPB2030 di ibu negara hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad danKetua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Md Silmi Abd Rahman.

Terdahulu beliau berkata kerajaan komited dalam usaha meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar.

"Ia termasuk mengkaji polisi perolehan oleh Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta isu berkaitan ekuiti korporat Bumiputera.

"Kerajaan sedang mengkaji mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) bertujuan memastikan saham yang dipegang oleh agensi bermandat Bumiputera kekal dalam kelompok syarikat Bumiputera.

"Mekanisme ini akan diperhalusi supaya mencapai ekuiti dan nilai Bumiputera tanpa memberi kesan terlalu besar kepada daya saing agensi berkaitan dalam urusan pelaburan mereka," katanya.

Tambah Ismail Sabri, Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur, inklusif dari Perlis ke Sarawak hingga ke Sabah, termasuk golongan Bumiputera minoriti.

"Seperti yang saya sebutkan dahulu, tiada yang akan dibiarkan terpinggir.

"Teraju juga mestilah moden dalam pendekatannya dan dalam menjayakan agenda Bumiputera, agensi itu dan pelaksana lain perlu memastikan tadbir urus yang tertinggi dipraktikkan dan kualiti piawaian diutamakan," katanya.

Katanya, TPB2030 mesti bermatlamat untuk melonjakkan kedudukan Bumiputera melalui merit dan daya saing.

"Tanpa pembangunan kapasiti dan kemampuan Bumiputera, objektif besar kita tidak akan tercapai.

"Kita mesti mengambil iktibar dari segala program Bumiputera yang telah diusahakan selama ini tetapi masih gagal mencapai sasaran asal," katanya.

Perdana Menteri berkata, hala tuju ini bakal menjadi pemangkin kepada kewujudan ekosistem Bumiputera yang berkembang maju, selaras dengan kepesatan teknologi dan arus pembangunan global.

"Semangat di sebalik TPB2030 ini adalah untuk melahirkan generasi baharu Bumiputera yang berwibawa, berpaksikan nilai-nilai murni, mempunyai sahsiah jati diri yang berintegriti, tabah, berdikari serta kompetitif dari segi usaha dan pemikiran.

"Kita mahukan generasi yang berkebolehan, berkelayakan serta mempunyai pengiktirafan supaya berupaya merebut peluang di dalam dan luar negara, seterusnya melonjakkan kedudukan Bumiputera sebagai kaum yang terbilang dan bermaruah," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 12:28 PM