Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) sudah membantu sehingga 591 syarikat Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan masing-masing di dalam pelbagai sektor sebagai inisiatif memperkasakan agenda Bumiputera.

Ia membabitkan syarikat Bumiputera yang memperoleh pembiayaan menerusi Dana Bumiputera Al-Ansar sejak dilancarkan pada 2015 dan syarikat Bumiputera yang menerima pelaburan ekuiti langsung daripada TH.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlisyah Abdul Ghani berkata, sebagai sebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), TH mempunyai tanggungjawab tersendiri menyokong kerajaan

di dalam agenda pemerkasaan serta transformasi Bumiputera di negara ini.

Berikutan itu, beliau berkata selain terbabit dalam bidang pengurusan haji dan dana pendeposit, TH juga mempunyai dana yang diperuntukkan khas kepada usahawan Bumiputera yang mahu membangun dan membesarkan syarikat

ke tahap lebih besar.

“Bagi Dana Bumiputera Al-Ansar, TH sudah menyalurkan pembiayaan kepada 587 syarikat Bumiputera yang terbabit dalam pelbagai industri seperti pembinaan, minyak dan gas, peruncitan, barangan pengguna, telekomunikasi, pengeluaran halal, pengangkutan, kesihatan, perkhidmatan, pendidikan, hospitaliti dan asas tani.

“Bagi pelaburan sana Ekuiti Langsung pula, TH sudah melabur di dalam empat syarikat yang mana dua terbabit dalam bidang penternakan ayam serta masing-masing syarikat yang bergiat dalam industri pengeluaran cat dan reka bentuk dalaman. TH bercadang melabur di dalam dua lagi syarikat Bumiputera berkelayakan pada tahun ini.

“Semua syarikat Bumiputera itu adalah antara syarikat yang mencapai kemajuan

di dalam bidang masing-masing,” katanya dalam satu temu bual bersama akhbar kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) di sini, baru-baru ini.

Badlisyah berkata, Dana Bumiputera Al-Ansar mempunyai saiz sebesar RM200 juta yang menyaksikan sebanyak RM175 juta sudah disalurkan kepada syarikat Bumiputera yang layak setakat bulan Disember lalu.

“Dana ini disediakan untuk tempoh lima tahun yang bermakna syarikat yang memperoleh pembiayaan sejak 2015 akan mempunyai tempoh (kontrak) lebih panjang. Jika ada syarikat yang mahu mendapatkan baki pembiayaan sebanyak RM25 juta lagi, tempoh pembiayaan adalah antara satu hingga tiga tahun,” katanya.

Bagi pelaburan ekuiti langsung pula, beliau berkata TH memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta bagi tujuan itu dan pelaburannya di dalam empat syarikat tahun lalu adalah berjumlah RM4 juta.

Pelaburan ekuiti langsung itu, katanya, adalah di dalam syarikat 100 peratus milik Bumiputera yang menjalankan perniagaan patuh Syariah, beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun dan menunjukkan prestasi yang memuaskan.

“Pelaburan yang TH laksanakan adalah melalui saham biasa atau saham keutamaan. Paling mustahak, syarikat terbabit mestilah menunjukkan minat yang tinggi untuk mengembangkan perniagaan.

“Kami mencari

syarikat yang mahu mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi dan minat yang ditunjukkan perlulah jitu. Itu yang penting sekali kerana apabila kami melakukan penilaian bagi mencari syarikat yang sesuai untuk dilabur, jika keinginan untuk memajukan diri tiada maka sukarlah (usaha itu),” katanya.

Badlisyah berkata, TH juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Wakaf Malaysia dan sebagainya bagi merintis pembangunan agenda Bumiputera.

“Kami melihat bagaimana dana TH boleh disatukan dengan dana agensi lain untuk membuat pelaburan bersama syarikat Bumiputera berpotensi.

“Selain itu, TH juga sedia berkongsi pengalaman dalam pengurusan dana dan perihal kewangan dengan usahawan Bumiputera, supaya mereka boleh memperbaiki kedudukan mereka dalam bidang berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 6:42 AM