MUHYIDDIN. FOTO BERNAMA
MUHYIDDIN. FOTO BERNAMA
Bisnes HM

KERAJAAN akan mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang akan menjadi platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

Ia akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, semalam.

"Pewujudan MKB ini adalah sebahagian daripada kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui usaha-usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program.

"Ia selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang mendukung tiga objektif utama iaitu pembangunan untuk semua; menangani jurang kekayaan dan pendapatan; serta membina negara bersatu, makmur dan bermaruah," katanya dalam kenyataan, hari ini di Kuala Lumpur.

Menurutnya, mesyuarat juga bersetuju untuk memperkukuhkan peranan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dalam dua aspek utama.

"Yang pertama, untuk menjadi badan koordinasi di peringkat tertinggi dengan mewujudkan jalinan dan rangkaian bersepadu serta komprehensif bersama kesemua pemegang taruh merentasi pelbagai sektor bagi memantau pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Bumiputera.

"Yang kedua, untuk memperkemas dan menambahbaik pengkalan data berpusat Bumiputera bagi mengumpul maklumat terkini, lengkap dan berkualiti bagi perancangan dasar dan intervensi strategik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:05 PM