Noorazura Abdul Rahman


Pendang: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan 11,469 atau 55 peratus daripada 20,772 permohonan pertukaran guru tahun hadapan yang diumumkan secara rasmi esok.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, jumlah pertukaran guru kali ini adalah antara tertinggi berbanding secara puratanya antara 22 hingga 31 peratus yang direkodkan sejak 2017 hingga 2020.

"Ini adalah pendekatan baharu yang kita ambil bagi membolehkan lebih ramai guru dapat bertukar tempat kerja seperti dihasratkan mereka.

"Kita juga turut mengambil kira pengambilan seramai 18,702 yang sedang dijalankan. Sebelum guru-guru ini ditempatkan, maka kita selesaikan dulu pertukaran guru sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Sains Pendang di Jalan Jenun di sini, hari ini.

DATUK Dr Radzi Jidin. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Dr Radzi Jidin. FOTO Luqman Hakim Zubir

Mengulas lanjut, Radzi berkata kementerian turut memberi tumpuan kepada guru berasal dari Semenanjung yang sudah lama berada di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Katanya, ini kerana dalam permohonan mereka ada yang merasakan sudah sampai masanya untuk mereka kembali ke Semenanjung atas faktor tertentu.

"Maka jika negeri atau kawasan yang dipohon mereka itu sudah penuh sekali pun, pihak kementerian akan tempatkan mereka di kawasan atau negeri terdekat dengan tempat dipohon.

"Ada juga dalam kalangan guru yang mengajar subjek di luar opsyen asal mereka di universiti. Maka kita akan ambil pendekatan untuk sesuaikan mereka dengan opsyen baharu," katanya.

Beliau berharap usaha yang dilakukan kementerian itu diharap mampu menggembirakan guru terbabit selain mengurangkan tekanan dihadapi mereka terutamanya yang berada berjauhan dari pasangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 3:26 PM