Noorazura Abdul Rahman


Kubang Pasu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada pengurusan sekolah yang cuba menyembunyikan kes positif Covid-19 membabitkan guru dan pelajar.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, setakat ini tiada sekolah yang dikesan berbuat demikian berikutan setiap sekolah perlu melaporkan segera kes yang berlaku.

"Kalau kita dapati (sembunyikan kes Covid-19) tindakan tegas akan diambil. Di sekolah kita ada sistem pelaporan, kita amat ketat (mengenai perkara ini), jadi kita akan tahu apa yang akan dilakukan.

"Sebagai contoh di Sekolah Seri Puteri (SSP), saya sebagai menteri telah turun ke situ dua kali, untuk meneliti pendekatan terbaik untuk uruskan isu berkaitan penularan kes dalam kalangan pelajar di situ, (jadi amat penting) untuk mana-mana sekolah (atau institusi pendidikan) di bawah KPM (untuk) laporkan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pnyerahan Sumbangan Pendidikan Digital-AEON Sayap Bagimu di Institut Pendidikan Guru, Kampus Darul Aman, Bandar Darul Aman di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden Yayasan AEON Malaysia Datin Noryahwati Mohamad Noh serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Didik Negara Hardian Hadir.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, penularan kes jangkitan Covid-19 membabitkan warga sekolah selepas pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat di negara ini masih terkawal.

Ini kerana, katanya, jumlahnya masih kecil sekiranya dibandingkan dengan keseluruhan 10,000 sekolah yang ada di seluruh negara.

"Jumlah kluster institusi pendidikan di seluruh negara kini membabitkan 21 buah sekolah secara keseluruhan.

"Seramai 287 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah disahkan positif, manakala 179 lagi merupakan kanak-kanak di tadika swasta yang berdaftar di bawah kementerian.

"Melihat kepada konteks lebih luas di mana kita memiliki lebih 10,000 sekolah tidak termasuk sekolah berasrama penuh, kolej vokasional, martikulasi dan sebagainya, boleh dikatakan keadaan sekarang masih berada dalam keadaan terkawal," katanya.

Datuk Dr Radzi Jidin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Datuk Dr Radzi Jidin. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Ketika ditanya, adakah terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di asrama sekolah sehingga berlalunya penularan Covid-19 dalam kalangan penghuni, beliau berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sedang menyiasat secara terperinci termasuk daripada mana puncanya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan agar semua pihak tidak mengambil ringan soal pematuhan SOP agar sistem pembelajaran secara bersemuka ini dapat diteruskan.

Radzi turut menzahirkan kesyukuran apabila hampir keseluruhan pelajar sekolah yang dijangkiti Covid-19 sudah lengkap vaksin dan mereka berada pada kategori satu yang tidak bergejala serta kategori 2A bergejala ringan.

"Jadi untuk anak-anak (pelajar) yang masih belum divaksinkan dan layak menerima vaksin, saya mohon kepada ibu bapa membawa anak ini divaksinkan untuk keselamatan anak-anak sendiri, begitu juga guru yang masih belum divaksinkan, kita boleh melihat keberkesanan dalam konteks apa berlaku ini," katanya.

Sebelum ini, Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baharu positif Covid-19 yang membabitkan warga sekolah itu.

Media juga melaporkan seramai 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud, Sik juga disahkan positif Covid-19 membabitkan kluster pendidikan iaitu Kluster Dah Pelangi semalam selepas menunjukkan gejala sejak 28 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:12 PM