GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Umno menafikan parti itu memungkiri piagam Muafakat Nasional (MN), tegas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, Umno tidak pernah memungkiri piagam itu dan penubuhan MN bukanlah dengan matlamat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi sebahagian daripadanya.

"Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Umno telah memungkiri piagam MN adalah tersasar.

"Hakikatnya jelas penubuhan MN adalah untuk menentang gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu pada ketika itu adalah sebahagian daripada gabungan berkenaan.

"Oleh itu, untuk memaksa Umno menerima Bersatu adalah bercanggah dengan semangat sebenar MN yang diasaskan, apa lagi bila mengenangkan bagaimana Bersatu bersekongkol dengan DAP dalam menentang Umno dan menumbangkan kerajaan pimpinan Umno," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi dilaporkan berkata, Pas menolak gagasan MN kerana Umno tidak mengikut piagam dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk sebelum ini.

Abdul Hadi berkata, berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berkata, matlamat sebenar MN sememangnya untuk memayungi semua orang Melayu, namun sesiapa yang ingin dibawa masuk ke MN mestilah serasi dengan kepentingan Umno dan Pas.

Beliau berkata, Piagam MN pula mestilah ditafsirkan selari dengan realiti politik semasa Umno dan Pas.

"Umno tidak pernah mengajak PKR, Amanah, Putra atau Pejuang menyertai MN walaupun mereka sebahagian daripada ummah berkepentingan.

"Secara jujurnya dalam hal ini, Umno tidak mahu menyinggung Pas dan Pas serta akar umbi seluruh negara arif bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini memutuskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

"Umno terikat dengan pendirian ini, jadi amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum Pas mencadangkan keanggotaan baru dalam MN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 1:59 PM