Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pas tetap konsisten dengan pendirian untuk meneruskan agenda penyatuan ummah yang membabitkan semua pihak dalam kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata ia termasuklah kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Khairul Faizi yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas serta Ketua Penerangan PN Johor berkata, beliau menyedari bukanlah sesuatu yang mudah untuk menyatukan semua pihak lebih-lebih lagi di antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Namun, beliau berkata, pendirian Pas adalah seperti yang dinyatakan oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bahawa penyatuan ummah mesti diutamakan.

Katanya, hasrat penyatuan ummah mestilah dilihat di luar kepentingan parti politik, sebaliknya jika parti menjadi keutamaan, maka ia akan menjurus kepada kepentingan parti masing-masing.

"Sekiranya perkara ini tidak diselesaikan segera maka akan menimbulkan tanda tanya dan salah faham di peringkat akar umbi dan rakyat.

"Umno dan Pas sudah melalui satu tempoh persengketaan yang lama, namun penyatuan ummah melalui MN berjaya menyatukan kedua-dua parti ini.

"Sudah tiba masanya untuk Umno dan Bersatu melalui proses penyatuan yang pastinya akan menggembirakan masyarakat Melayu dan Islam di tanah air ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi dilaporkan berkata, Pas menolak menjalin kerjasama dengan parti yang ekstrem dan liberal, sebaliknya memilih bersama parti yang mempunyai prinsip dan hala tuju yang sama dalam menyatukan ummah.

Presiden Pas itu dilaporkan berkata, Pas bersedia bekerjasama dengan semua parti yang ada dalam negara ini, namun ia perlu selari dengan konsep dan perjuangan parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 3:50 PM