SAARANI melambai ke arah media selepas berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri Belia hari ini. FOTO Bernama
SAARANI melambai ke arah media selepas berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri Belia hari ini. FOTO Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2020 untuk menurunkan had umur layak mengundi bahkan menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada 21 kepada 18 tahun atau Undi 18 sudah diwartakan pada April lalu.

Ia disahkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad ketika ditanya mengenai tarikh untuk melakukan sidang khas bagi meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan Undi 18 dilaksanakan.

"Untuk Perak kita sudah selesai yang mana perkara ini sudah dibawakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Oktober tahun lalu dan sudah diwartakan pada April tahun ini.

"Tarikh sebenar pewartaan, itu saya harus semak balik, namun kita memang sudah selesaikannya (pewartaan)," katanya dalam sidang media selepas berucap merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed.

Pada 27 Oktober tahun lalu, media melaporkan Pindaan Rang Undang-Undang Tubuh berkenaan diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Perak.

Berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan, pendaftaran untuk pengundi berusia 18 tahun akan dilakukan secara automatik justeru membolehkan rakyat Malaysia seawal usia 18 tahun dapat membabitkan diri dalam politik.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku persempadanan semula kawasan pilihan raya di Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) susulan pertambahan jumlah pengundi Undi 18, Saarani berkata, kemungkinan ia hanya akan berlaku selepas PRU terlaksana kelak.

Beliau berkata, ia kerana kriteria persempadanan semula antaranya adalah dilakukan hanya sekali pada setiap 10 tahun.

"Jadi saya ingat (antara) persempadanan paling akhir adalah pada 2003 yang digunakan ketika PRU-11 pada 2004, kemudian selepas itu persempadanan adalah 10 tahun selepas iaitu 2013.

"Jadi kalau 10 tahun selepas itu pula maka ia adalah pada 2023. Maknanya 2023 (mungkin) selepas PRU-15 nanti baru akan ada lagi eksesais untuk meminda semula sempadan kawasan pilihan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:24 PM