Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jumlah pengundi di negeri ini mencatatkan pertambahan hampir 30 peratus, dengan pertambahan 749,731 pengundi berusia muda susulan pendaftaran automatik Undi18.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini menjadikan jumlah pengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meningkat kepada kira-kira 2.5 juta pengundi berbanding 1.8 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, dengan peningkatan itu, berlakunya pertambahan antara 20 hingga 30 peratus pengundi baharu di kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri ini.

"Kita sedia maklum mengenai perkara ini (pengundi baharu) malah sudah bersedia untuk menghadapinya sebagai cabaran dalam politik malah semua Ahli Parlimen sudah ditaklimatkan mengenai jumlah pengundi yang diwartakan.

"Pendaftaran pengundi (Undi18) termasuk pengundi pertama kali sudah bermula sejak Disember lalu dan diwartakan pada 16 Januari ini.

"Jumlah pengundi itu akan bertambah selepas pendaftaran pengundi (Undi18) diwartakan secara automatik dan akan dikemas kini setiap 16 hari bulan setiap bulan," katanya pada sidang media di Bangunan Umno Johor, di sini, hari ini.

Ahmad Maslan (duduk dua dari kiri) dan Presiden Kongres India Muslim Malaysia KIMMA Kebangsaan  Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (duduk dua dari kanan), Pengerusi KIMMA Johor, Datuk Anwar Sadat (duduk kiri) ketika sidang akhbar selepas Program Retreat dan Gerak Gempur Jentera Pilihanraya Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Bangunan UMNO Jalan Yahya Awal, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ahmad Maslan (duduk dua dari kiri) dan Presiden Kongres India Muslim Malaysia KIMMA Kebangsaan Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (duduk dua dari kanan), Pengerusi KIMMA Johor, Datuk Anwar Sadat (duduk kiri) ketika sidang akhbar selepas Program Retreat dan Gerak Gempur Jentera Pilihanraya Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Bangunan UMNO Jalan Yahya Awal, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Kerajaan sebelum ini dilaporkan meminda Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pertambahan pengundi itu bukan sahaja menjadi ujian buat Barisan Nasional (BN) malah turut menjadi cabaran kepada parti politik lain yang bertanding.

"Ini tidak seharusnya menjadi isu kerana kami juga bersetuju dan menyokong perkara ini di Dewan Rakyat, lambat laun kita akan menghadapinya dan tidak boleh lari lagi.

"Oleh itu, jadi tanggungjawab kepada ahli Umno dan BN untuk pujuk anak mereka yang juga pengundi baharu untuk undi kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 2:19 PM