MOHD Salim menyerahkan surat perlantikan JPKKP kepada penerima dalam majlis disebuah hotel di Bahau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MOHD Salim menyerahkan surat perlantikan JPKKP kepada penerima dalam majlis disebuah hotel di Bahau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sedang berusaha menyelesaikan masalah pembayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang tertangguh disebabkan pelbagai masalah teknikal.

Pengerusinya, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, masalah berlaku apabila ada pekebun kecil yang tidak mendaftar selain tinggal jauh di pedalaman.

Katanya, selain itu isu pertindihan tanam semula dengan FELDA turut menyebabkan kelewatan pembayaran bantuan berkenaan kepada pekebun kecil.

"Kira - kira 10 peratus daripada 232,319 pekebun kecil belum menerima bantuan berkenaan dan RISDA dalam proses menyelesaikan masalah berkenaan.

"InsyaAllah, kita jangkakan dalam tempoh dua minggu ini, masalah berkenaan dapat diatasi dan pekebun kecil akan menerima bantuan itu," katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Perlantikan Jawatankuasa Penduduk, Keselamatan Kampung Persekutuan ( JPKKP ) di Bahau di sini, tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli; ADUN Jeram Padang, Datuk L Manickam dan ADUN Palong, Mustapha Nagoor.

Mohd Salim berkata bagi BMT tahun ini RISDA memperuntukkan bayaran berjumlah RM139.5 juta dengan penerima menerima bayaran berjumlah RM600, masing - masing RM300 bagi bulan November dan Disember.

Katanya bantuan itu diharap dapat meringankan beban pekebun kecil yang terjejas pendapatan akibat musim tengkujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:20 PM