MUHYIDDIN menyampaikan replika cek jumlah keseluruhan dividen Risda kepada penerima Suraji Puniran di pejabat Risda, hari ini. FOTO Fathil Asri.
MUHYIDDIN menyampaikan replika cek jumlah keseluruhan dividen Risda kepada penerima Suraji Puniran di pejabat Risda, hari ini. FOTO Fathil Asri.
Isma Ismail


Kuala Lumpur: Kerajaan sedia untuk menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BKT) 2021 kepada 232,319 pekebun kecil di seluruh negara membabitkan peruntukan berjumlah RM69.9 juta.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap pekebun kecil yang layak akan menerima bayaran sebanyak RM600 setiap seorang.

Menurutnya, bayaran bantuan itu akan dibuat sebanyak RM300 pada Disember tahun ini dan RM300 lagi pada Januari 2022.

Katanya, bantuan itu adalah seperti kelaziman yang dibuat kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

"Diharapkan ia akan dapat meringankan beban pekebun kecil yang berhadapan bencana di musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Dividen Risda dan Felcra 2021 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan pembayaran dividen kepada pekebun kecil Risda dan peserta Felcra sebanyak RM189.08 juta.

Dividen Risda melalui Rancangan Baru Berkelompok (RTTB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) Risda 2020 berjumlah RM82.03 juta bakal disampaikan kepada 31,246 pekebun kecil di seluruh negara.

Felcra pula membuat bayaran agihan akhir lebihan keuntungan berjumlah RM107.05 juta kepada 58,826 peserta di seluruh negara secara berperingkat.

Menurutnya, pihaknya berharap pelbagai usaha dan bantuan disediakan kerajaan akan membolehkan masyarakat luar bandar bertambah maju dan berdaya saing.

Katanya, komoditi getah dan kelapa sawit adalah tanaman strategik terutama bagi menyokong industri pembuatan produk dan antara sumber pendapatan utama negara.

"Kerajaan tidak pernah abai nasib pekebun kecil Risda dan peserta Felcra," katanya.

Di majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan agihan zakat korporat Risda berjumlah RM2.48 juta kepada 4,400 asnaf pekebun kecil dan institusi agama.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 12:08 PM