MOHD Salim menyampaikan bantuan persekolahan YPM di MRSM Serting. FOTO Abnor Hamizam
MOHD Salim menyampaikan bantuan persekolahan YPM di MRSM Serting. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) membelanjakan RM122 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk 237,000 pekebun kecil sehingga 5 Januari lalu.

Pengerusinya Datuk Mohd Salim Mohd Shariff berkata, sebanyak 274,000 pekebun kecil dikenal pasti bagi menerima bantuan berjumlah RM300 sebulan itu bagi Disember lalu dan bulan ini.

Katanya, bayaran itu memberi manfaat kepada pekebun kecil yang terkesan akibat musim tengkujuh.

"Menerusi BMT, pekebun kecil dan penoreh getah yang mengusahakan keseluruhan kebun getah tidak melebihi 2.5 hektar layak menerima bantuan," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Kembali Ke Sekolah, Yayasan Pelajaran MARA di Maktab Rendah Sains Mara, Serting, dekat sini, hari ini.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, bagi pekebun kecil yang tinggal di pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak, pegawai Risda akan turun padang bagi menyerahkan bantuan berkenaan.

Menurutnya, Risda juga akan menilai kerosakan terhadap ladangnya yang terjejas akibat banjir bagi dibaik pulih.

"Selain itu, kita juga akan mengenal pasti sekiranya terdapat pokok getah milik pekebun kecil yang musnah akibat banjir sebelum memberi bantuan tanam semula membabitkan kos berjumlah RM9,320 bagi setiap 0.4 hektar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 5:17 PM