Kaunter JPJ. FOTO Arkib NSTP
Kaunter JPJ. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan seorang pempengaruh media sosial bernama Azrul Affandi Sobry berhubung isu 'Lesen Terbang'.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu dipandang serius dan individu itu akan dipanggil bagi mendapatkan kenyataan lanjut dan membantu siasatan.

"JPJ ingin menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku membabitkan warga kerja JPJ sekiranya benar apa diuar-uarkan oleh saudara Azrul Affandi Sobry.

"Dia mendakwa anggota penguatkuasa JPJ terbabit dalam aktiviti menjual lesen terbang," menurut JPJ dalam satu kenyataan tadi.

Kenyataan JPJ itu menyatakan beberapa siri siasatan SPRM sudah dijalankan sehingga kini.

Menerusi hantaran di media sosial, Azrul Affandi mendakwa terdapat pegawai JPJ yang terbabit secara langsung dalam aktiviti menjual lesen memandu secara haram, dengan menerima wang sogokan biarpun tidak melepasi ujian yang ditetapkan di institut memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 4:19 PM