Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dengan lebih meluas dan mendalam boleh menjadi alternatif terbaik dalam usaha pencegahan jenayah.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berpendapat teknologi AI perlu diteroka dengan lebih mendalam untuk diintegrasikan kepada pengawasan atau pencegahan jenayah sedia ada.

Menurutnya, teknologi AI bukan saja mampu menjalankan pengecaman wajah malah pembangunan perisian terkini teknologi itu mampu membaca bahasa tubuh dan meramal kelakuan seseorang.

"Macam mana nak gambarkan seseorang itu mencurigakan, bukan orangnya (fizikal) yang mencurigakan tetapi tindak-tanduknya jadi kalau pakai AI dia boleh kesan (kelakuan) dengan lebih awal. Ini kita panggil predictive policing.

"Teknologi seperti ini kita selalu anggap orang luar negara (berkemampuan), tapi ada anak watan kita yang boleh buat, saya pernah tengok kamera boleh nampak sejauh 10 kilometer (km), boleh nampak warna penuh walau malam pekat," katanya pada program Podcast Apa-Apa Saja Harian Metro.

Katanya, kelakuan individu kebiasaannya boleh diramal berdasarkan parameter tertentu yang mampu dikira oleh perisian AI bagi mengesan kelakuan mencurigakan seseorang itu.

Kamal Affendi berkata, seseorang itu kebiasaannya akan menunjukkan atau dalam bahasa teknikalnya memanifestasikan petunjuk secara tidak sedar sebelum melakukan perbuatan jenayah.

"Manifestasi ini yang boleh dikesan oleh teknologi AI berkenaan. Kalau seseorang itu terlatih, ejen perisik kategori 'James Bond' mungkin dia boleh mengawalnya.

"Tetapi kalau setakat yang dalam pasaran (penjenayah) sekarang ini saya rasa tiada, kadang-kadang semasa rancang (jenayah) itu pun orang dah tahu dah," katanya.

Mengulas mengenai kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, beliau memuji kecekapan pihak berkuasa yang berjaya memberkas suspek dalam masa singkat.

Katanya, tindakan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turun padang dan mampu memberi maklumat awal dengan terperinci untuk mententeramkan suasana perlu diberi pujian.

Menurutnya, tohmahan masyarakat terhadap PDRM tidak sepatutnya berlaku kerana orang ramai perlu faham tugas utama polis adalah menjaga keselamatan awam dan setiap pergerakan adalah taktikal serta memerlukan perancangan rapi.

"Ada yang cakap 'kenapa biar dia lari', tapi keutamaan utama adalah keselamatan awam. Ramai cakap kita patut kepung terminal itu, tetapi ini bukan movie Hong Kong.

"Kalau pihak berkuasa kepung (terminal), kita kena tutup operasi terminal, kedua boleh jadi collateral damage contohnya dia tembak orang, boleh jadi situasi tebusan, apakah kita nak keadaan itu?" katanya.

KAMAL Affandi (kiri) ditemubual pengacara, Azrul Affandi Sobry dan Nabihah Kamal menerusi Podcast Apa-Apa Saja Harian Metro.
KAMAL Affandi (kiri) ditemubual pengacara, Azrul Affandi Sobry dan Nabihah Kamal menerusi Podcast Apa-Apa Saja Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:30 PM