GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan tiada hujan lebat berlaku di negeri ini sehingga Rabu ini.

Pengarah Pejabat MetMalaysia Terengganu Rosli Zakaria berkata, keadaan cuaca diramalkan bertambah baik bermula hari ini, namun berlaku hujan pada sebelah pagi terutama di kawasan pantai.

"Secara amnya, keadaan cuaca dijangka bertambah baik sehingga Rabu ini. Episod hujan lebat dijangka berterusan mulai Khamis ini," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun daripada 182 orang kepada 140 orang setakat 8 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, penurunan angka itu berikutan penutupan PPS Masjid Kampung Merbau Menyusut di Setiu yang menempatkan seramai 42 mangsa membabitkan lapan keluarga.

Katanya, PPS berkenaan dibuka 12.30 tengahari kelmarin dan ditutup pada 10.50 malam tadi berikutan keadaan cuaca semakin baik.

"Setakat ini, hanya tujuh PPS yang aktif bagi menempatkan 54 keluarga membabitkan 140 mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 12:19 PM