PENDUDUK meredah banjir di Kampung Gong Terap. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK meredah banjir di Kampung Gong Terap. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Terengganu menurun daripada 182 orang kepada 140 orang sehingga jam 8 pagi ini.

Penurunan angka itu berikutan penutupan PPS Masjid Kampung Merbau Menyusut di Setiu, yang menempatkan seramai 42 mangsa membabitkan lapan keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, PPS berkenaan yang dibuka 12.30 tengah hari kelmarin ditutup jam 10.50 malam tadi berikutan keadaan cuaca yang semakin baik.

"Setakat ini tujuh PPS yang aktif bagi menempatkan 54 keluarga membabitkan 140 mangsa.

"PPS berkenaan adalah Masjid Kampung Chalok Kedai, Masjid Kampung Gong Terap, SK Kampung Besut dan Balairaya Kampung Bukit Mak Som di Setiu.

"Di Kuala Nerus, masih kekal dua PPS yang diaktifkan iaitu SK Mengabang Telipot dan Surau Mak Jintan yang menempatkan mangsa seramai di 30 orang daripada enam keluarga dan SK Kampung Baharu di Besut (10 mangsa, empat keluarga)," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, semua mangsa banjir di PPS SK Merbau Menyusut dibenarkan pulang secara berperingkat selepas banjir di kawasan kediaman mereka surut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 9:18 AM