AZAM. FOTO Arkib NSTP
AZAM. FOTO Arkib NSTP
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Universiti perlu memastikan institusinya memiliki tahap integriti tinggi, demi memastikan tenaga kerja yang bakal dilahirkan bukan hanya profesional tetapi mampu menolak segala bentuk penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, sebagai contoh Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempunyai kira-kira 180,000 penuntut.

"Jelas jumlah pelajar mempunyai tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara.

"UiTM sangat berperanan sebagai institusi pendidikan amat signifikan dalam membangunkan intelektual dan tenaga kerja di negara ini.

"Justeru, kepimpinan masa depan negara terletak kepada 180,000 pelajar yang akan menentukan masa depan (negara)," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Makmal Poligraf sempena Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang berlangsung di Accounting Research Institute (ARI), Menara Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS), UiTM, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.

Azam berkata, membentuk pelajar berintegriti adalah bermula daripada ekosistem warga universiti itu sendiri.

"Oleh itu, adalah amat kritikal agar semua tenaga kerja UiTM termasuk pihak Pengurusan Eksekutif dan Pengurusan Kanan UiTM mempunyai tahap integriti yang tinggi.

"Ini demi memastikan tenaga kerja yang bakal dilahirkan bukan hanya profesional, tetapi berintegriti. Justeru, kita perlu biasa menjalani cara hidup yang menolak segala bentuk penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Dalam perkembangan lain, ARI yang dimiliki UiTM menjadi institusi penyelidikan pertama di Malaysia yang mempunyai makmal poligraf sendiri.

Dengan adanya makmal itu, ARI kini menawarkan perkhidmatan ujian poligraf kepada organisasi kerajaan, agensi penguatkuasaan undang-undang, sektor korporat dan organisasi swasta.

ARI juga menawarkan kursus, perkhidmatan dan kerjasama yang menggunakan teknologi sebagai alat untuk meningkatkan kualiti penyelidikan dan menambah baik prosedur penyiasatan.

Kini, UiTM mempunyai empat orang Pemeriksa Poligraf yang berkelayakan dan dilantik sebagai 'Pegawai Poligraf UiTM'.

ARI yang diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada 2010, menjadi pemangkin kepada penubuhan makmal ini.

Selaras dengan bidang tujahan ARI dalam Kriminologi Kewangan Islam dan matlamat ARI untuk menjadi sebuah pusat rujukan global tersohor, penubuhan makmal itu bertujuan untuk memudahkan dan memajukan penyelidikan dalam perakaunan forensik dan kriminologi kewangan.

Makmal terbabit dapat menampung seramai 15 orang pada satu masa dan mempunyai empat set peralatan serta dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipantau dari bilik kawalan untuk pengawasan semasa ujian poligraf berlangsung selain untuk meningkatkan keselamatan.

Dalam pada itu, UiTM menyambut baik cadangan SPRM berhubung penubuhan Kor Kadet Mahasiswa Sukarelawan SPRM (Kor SUAR) di universiti bagi mengukuhkan gerakan antirasuah dalam kalangan mahasiswa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 11:41 PM