AZAM Baki (kiri) ketika sidang media selepas  Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. FOTO Bernama
AZAM Baki (kiri) ketika sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Siasatan rasuah RM6 juta membabitkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sudah selesai dan dalam proses semakan akhir sebelum dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan juga sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM.

"Belum hantar ke AGC (Pejabat Peguam Negara) tetapi dalam peringkat semakan akhir Timbalan Pendakwa Raya SPRM," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) kali ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah SPRM mencadangkan pendakwaan terhadap mana-mana individu, Azam bagaimanapun enggan mengulas namun memaklumkan perkara itu akan dimaklumkan pada masa akan datang.

Pada 7 Januari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM menahan reman Zulkifli dan tiga individu berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

Rentetan itu, Zulkifli dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM pada Khamis, 4 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:06 PM