Sukarelawan hospital Chih Hong (kanan) membantu menolak kerusi roda seorang warga emas untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac di Perak Community Specialist Hospital (PCSH), Ipoh hari ini. FOTO BERNAMA
Sukarelawan hospital Chih Hong (kanan) membantu menolak kerusi roda seorang warga emas untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Sinovac di Perak Community Specialist Hospital (PCSH), Ipoh hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Sebanyak 19 Universiti Awam (UA) dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) dikenal pasti untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membentangkan cadangan mewujudkan PPV IPT dalam Sidang Khas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) pada 31 Mei lalu bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam menyediakan akses yang lebih banyak kepada rakyat untuk divaksin.

Menurutnya dalam kenyataan hari ini, pasukan khas KPT diketuai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar mengenal pasti 19 PPV IPT yang berkemampuan memberi 14,400 vaksin sehari atau 432,000 vaksin sebulan.

Antara UA dan HPU terlibat ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM); Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan UiTM Puncak Alam pula dikenal pasti sebagai PPV mega.

"Model PPV IPT ini mengguna pakai model PPV di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan melibatkan UA, HPU, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebagai tonggak kepada setiap PPV IPT," kata Noraini.

Noraini berkata, KPT komited untuk menggerakkan semua tenaga kerja kesihatan UA yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Pensyarah Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat untuk terlibat dalam PPV IPT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 7:55 PM