Pelancaran APEL.Q akan menyemarakkan lagi budaya pembelajaran sepanjang hayat. (Dari kiri) Ahmad Dasuki, Husaini, Megat Sany, Abdul Razak, Noraini, Mohammad Shatar dan Zainab.
Pelancaran APEL.Q akan menyemarakkan lagi budaya pembelajaran sepanjang hayat. (Dari kiri) Ahmad Dasuki, Husaini, Megat Sany, Abdul Razak, Noraini, Mohammad Shatar dan Zainab.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Dalam usaha menyemarakkan lagi agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) meneruskan inisiatif Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (Apel) dan terbaru dengan penganugerahan kelayakan akademik atau Apel.Q.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata Apel.Q adalah proses menilai ilmu yang diperoleh daripada pengalaman pembelajaran terdahulu seseorang untuk dianugerahkan kelayakan akademik.

Kelayakan itu, katanya, termasuk peringkat pengajian tahap diploma, ijazah, sarjana dan kedoktoran tanpa perlu mengikuti keseluruhan program pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

"Saya juga graduan yang melalui projek rintis penilaian Apel.Q yang pernah melalui proses penilaian portfolio, lawatan lapangan dan pengesahan serta ujian cabaran (challenge test).

"Saya yakin ramai di luar sana yang sudah membangunkan bakat sekian lama melalui pengalaman hidup dan kerjaya boleh berjaya menerusi laluan alternatif Apel.Q ini," katanya ketika berucap melancarkan inisiatif Apel.Q sempena Hari Terbuka Apel di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Dr Noraini turut mengumumkan enam IPT yang diluluskan oleh MQA untuk melaksanakan Apel.Q iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Open University Malaysia (OUM), Asia e University (AeU), HELP University dan SEGi University.

Dr Noraini berkata, enam universiti itu adalah universiti rintis yang membabitkan 13 program dari peringkat diploma sehinggalah peringkat kedoktoran.

"KPT berharap lebih banyak IPT tempatan menerima pelajar laluan Apel dengan menyediakan sistem sokongan yang bersesuaian.

"Saya yakin inisiatif ini mampu menarik minat lebih ramai warga Malaysia kembali menyambung pengajian dan menarik pelajar dari seluruh pelusuk dunia menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pengajian tinggi mereka seterusnya menjadikan negara ini hab pendidikan global," katanya.

Dr. Noraini yakin pelaksanaan APEL dapat menyokong agenda negara dalam pembangunan bakat dan pekerja berkemahiran tinggi.
Dr. Noraini yakin pelaksanaan APEL dapat menyokong agenda negara dalam pembangunan bakat dan pekerja berkemahiran tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 4:16 PM