BOT gentian kaca dari Pulau Pinang yang ditahan pihak Maritim Kuala Kurau. FOTO ihsan Maritim Malaysia
BOT gentian kaca dari Pulau Pinang yang ditahan pihak Maritim Kuala Kurau. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Tindakan dua nelayan tempatan dari Pulau Pinang yang cuba melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Kuala Kurau, di sini, mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, pada jam 1 tengah hari semasa rondaan rutin, bot Benteng 3 mengesan sebuah bot gentian kaca bersama dua nelayan dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua nelayan itu berumur 17 dan 44 tahun dan bot terbabit didaftarkan di Pulau Pinang.

"Kedua-dua suspek ditahan kerana melakukan kegiatan perikanan di luar kawasan yang dibenarkan pada jarak kira-kira 2.9 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau.

"Turut ditemukan kira-kira lima kilogram hasil ikan serta 403 set bento (bubu) ketam yang disyaki digunakan untuk menangkap hasil laut di sini.

"Suspek bersama bot serta peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen perikanan dengan menangkap hasil laut di luar kawasan dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 12:17 PM