ANGGOTA APMM menaikkan bubu naga yang dirampas di Parit Buntar. FOTO ihsan APMM
ANGGOTA APMM menaikkan bubu naga yang dirampas di Parit Buntar. FOTO ihsan APMM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Tiga nelayan termasuk dua warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Matitim Malaysia (APMM) bersama 268 set bubu naga di kedudukan 5.3 batu nautika dari Pantai Kuala Trong, petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, dalam kejadian pada 5.15 petang itu, sepasukan anggota mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik diarahkan berhenti, pemeriksaan mendapati bot itu tidak memaparkan nombor pendaftaran dan tidak memiliki dokumen lesen vesel sah.

"Selain itu, dua warganegara Myanmar itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan permit kerja sah.

"Tiga nelayan berusia 26 hingga 37 tahun bersama 268 set bubu naga dibawa ke jeti Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, rampasan dianggarkan bernilai RM24,120 dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah, Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 iaitu mempunyai di bawah kawalannya peralatan menangkap ikan tidak dilesenkan dan Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 iaitu tidak memiliki lesen vesel sah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 5:47 PM