TIGA nelayan warga negara Myanmar tanpa pengenalan diri ditahan APMM Kuala Kurau. FOTO ihsan APMM
TIGA nelayan warga negara Myanmar tanpa pengenalan diri ditahan APMM Kuala Kurau. FOTO ihsan APMM
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Tiga nelayan warga Myanmar tanpa sebarang dokumen pengenalan diri ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, dalam kejadian 11.11 pagi itu, pasukannya mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 7.4 batu nautika di muara Kuala Kurau.

"Hasil pemeriksaan menemukan tiga kru warga Myanmar termasuk tekong berumur antara 27 hingga 34 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu memiliki lesen yang sah namun tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggunakan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Najhan berkata bot itu juga tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya selain spesifikasi enjin bot tidak sama seperti yang didaftarkan dalam buku lesen.

"Kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 4:39 PM