Nurul Izzah (tengah) bersama abang dan kakaknya di rumah mereka di Kampung Jerek, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Nurul Izzah (tengah) bersama abang dan kakaknya di rumah mereka di Kampung Jerek, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Tanggungjawab berat digalas wanita orang kurang upaya (OKU) lembam di Kampung Jerek, di sini, apabila turut menjaga kakak dan abangnya yang juga OKU lembam selepas kematian ibu bapa mereka.

Ibu mereka, Kamariah Ariffin, 42, meninggal dunia pada 2013 akibat kanser tiroid manakala bapa, Sabarudin Jaafar, 43, pula meninggal dunia akibat penyakit diabetis, dua tahun lalu.

Walaupun dikategorikan OKU lembam, Nurul Izzah Sabarudin, 23, tabah mengambil tanggungjawab menjaga dan menguruskan kakaknya, Nursuraya, 27, dan abangnya, Muhammad Saiful Akhbar, 25, selepas kematian orang tua mereka.

Menurut Nurul Izzah, mereka yang hanya tiga beradik kini tinggal di rumah peninggalan arwah bapanya dan menyara kehidupan dengan bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan.

"Walaupun kami dilahirkan tidak seperti manusia normal lain, kami adik-beradik sangat rapat dan sayalah yang bertanggungjawab mengurus dan menjaga mereka selepas kematian kedua ibu bapa.

"Selepas menjadi yatim piatu, kami bernasib baik apabila dapat berteduh di rumah peninggalan bapa. Kami bertiga terpaksa berdikari dan bersyukur apabila mempunyai saudara-mara yang mengambil berat," katanya.

Nurul Izzah berkata demikian ketika ditemui selepas dikunjungi oleh Persatuan Cakna Kasih yang menyampaikan bantuan dan sumbangan bagi meringankan beban tiga beradik terbabit.

Menurutnya, nasibnya lebih baik berbanding kakak dan abangnya apabila berjaya menamatkan persekolahan di peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Muhammadi, di sini.

"Namun, saya terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pengajian kerana ingin fokus menjaga abang dan kakak yang memerlukan perhatian.

"Kakak dan abang mengalami kesukaran untuk bertutur dengan jelas dan menguruskan diri sendiri.

"Setakat ini, saya tidak berdepan masalah besar untuk menjaga mereka walaupun kadang-kala mereka bersikap agresif. Saya akan terus menjaga mereka selamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 4:58 PM