KEADAAN kaki pekerja ternakan ikan yang tersepit dalam mesin pengisar. FOTO IHSAN BOMBA
KEADAAN kaki pekerja ternakan ikan yang tersepit dalam mesin pengisar. FOTO IHSAN BOMBA
Nuraliawati Sabri


Jasin: Seorang pekerja ternakan ikan terpaksa menahan kesakitan kira-kira satu jam selepas jari kaki kanannya tersepit dalam mesin pengisar, dalam kejadian di kolam ternakan ikan di Kampung Kemengkang, di sini, petang tadi.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 3.30 petang, ketika mangsa berusia 45 tahun yang juga warga Indonesia sedang memproses makanan ikan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II KUP Bukari Rejab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.47 petang sebelum lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer.

Beliau berkata, ketika melakukan kerja memproses makanan ikan, mangsa tiba-tiba tergelincir sebelum kejadian disedari rakannya yang segera menutup suis mesin pengisar.

"Rakan mangsa kemudian memaklumkam kepada penyelia lalu menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan.

"Kerja menyelamat bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit mengambil masa kira-kira 45 minit sebelum berjaya dibawa keluar," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibawa ke Hospital Jasin bagi rawatan lanjut.

"Akibat daripada kejadian itu, jari kaki mangsa hancur dan dia dirujuk ke hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:58 PM