Gambar adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Gambar adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia


PEKERJA restoran terpaksa menahan kesakitan lebih setengah jam selepas tangan kanannya tersepit di mesin pengisar daging dalam kejadian di restoran di lorong Binjai, Kuala Lumpur, hari ini.

Kejadian ketika lelaki yang hanya dikenali sebagai Remy, 20, sedang melakukan kerja mengisar daging di restoran berkenaan, pada kira-kira 5 petang.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khiruddin Drahman, berkata pihaknya memerlukan kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan tangan lelaki berkenaan daripada mesin itu.

Beliau berkata, bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan tangan kanan mangsa yang mengalami kecederaan serius.

“Akibat tersepit di mesin pengisar itu, jarinya putus manakala jari tengah hancur dan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 10:21 PM