Anggota bomba berusaha mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit. - Foto Ihsan Bomba
Nur Syazwana Mansor


Yan: Ibu jari dan jari telunjuk tangan kanan seorang budak lelaki berusia 13 tahun cedera teruk akibat tersepit mesin pengisar ayam di Kampung Pekan Gelam, Sungai Limau, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa sedang mengisar perut ayam apabila tangannya tersepit pada mesin pengisar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan Penolong Penguasa Bomba Mohamaf Firdaus Isa berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua jam bagi menanggalkan komponen mesin berkenaan menggunakan gergaji sebelum tangan mangsa dapat dikeluarkan dengan selamat.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.06 petang dan enam anggota dari BBP Yan dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan paramedik Hospital Yan (HY) memberi ubat bius kepada mangsa sebelum kerja mengeluarkan tangannya dilakukan,” katanya.

Operasi menyelamat mangsa berakhir kira-kira jam 8 malam dan dia dihantar ke hospital.

Bagaimanapun akibat kecederaan serius, mangsa dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 9:07 PM