MOHD Irwan Rajiun,  menggunakan sampan untuk meninjau keadaan sekitar rumah yang ditenggelami banjir  di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan, 26 November lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MOHD Irwan Rajiun, menggunakan sampan untuk meninjau keadaan sekitar rumah yang ditenggelami banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan, 26 November lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Lebih 17,000 anggota Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir kesan Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia terdiri daripada 6,397 anggota pasukan perubatan yang berperanan melawat dan memberi rawatan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Daripada jumlah itu juga, seramai 4,688 anggota daripada pasukan kesihatan melakukan pemantauan, pencegahan serta kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.

"Selain itu 5,964 anggota Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) akan memberi dan menyelaraskan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas.

"Pasukan Penilaian Pantas (RAT) dan Pasukan Tindak Pantas (RRT) pula dengan 1,770 anggota bertanggungjawab memberi respons bagi mencegah dan mengawal kejadian wabak semasa banjir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa siri mesyuarat kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir sudah diadakan antara Ibu Pejabat KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

"Surat Arahan Persediaan Menghadapi Banjir MTL sudah diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri dan institusi KKM sejak 21 September lalu," katanya.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata, JKN juga sudah mengemaskini maklumat peralatan dan kenderaan serta keperluan logistik lain dan bersiap sedia untuk digunakan ketika banjir bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan.

"Stok bekalan ubatan mencukupi di fasiliti kesihatan untuk tiga bulan dan stok tambahan tiga bulan disimpan oleh pembekal yang sentiasa bersedia untuk digunakan apabila diperlukan oleh KKM.

"Stok bekalan kit ujian RTK-Antigen Covid-19, ubatan Covid-19 dan vaksin juga mencukupi.

"Semua JKN juga sudah mengenal pasti fasiliti kesihatan alternatif kepada fasiliti yang berisiko banjir bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat sekiranya operasi kemudahan itu terjejas banjir," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi menghadapi cabaran banjir dan penularan Covid-19, KKM sudah mengeluarkan Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan Covid-19 di PPS sebagai panduan kepada semua agensi dan anggota yang terbabit dalam memberi tindak balas semasa bencana banjir.

"Garis panduan itu memberi penekanan kepada aspek pencegahan Covid-19 di PPS yang perlu diamalkan dan diberi perhatian oleh semua penghuni dan agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan kebajikan mangsa di PPS.

"Amalan mencuci tangan serta etika batuk dan bersin yang betul perlu diamalkan sepanjang masa. Pemakaian pelitup muka amat digalakkan kepada semua mangsa yang berada di PPS dan diwajibkan kepada mereka yang positif Covid-19.

"Mangsa banjir bergejala dan disyaki Covid-19 di PPS perlu menjalani ujian Covid-19 dan diasingkan di tempat khas atau dirujuk ke hospital bagi yang memerlukan isolasi, pemantauan dan rawatan lanjut.

"Langkah ini adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kejadian kluster Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS," katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 9 pagi hari ini, terdapat 419 mangsa banjir ditempatkan di empat PPS iaitu masing-masing dua di Selangor dan Perak.

Katanya, pasukan perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah yang terbabit sudah digerakkan bagi memberi perkhidmatan kepada mereka.

"Orang ramai juga perlu peka dengan arahan semasa daripada pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah penjagaan kesihatan kendiri bagi mencegah penyakit lain yang sering terjadi semasa musim banjir.

"Elak bermain dengan air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman penyakit leptospirosis (jangkitan kuman kencing tikus) dan meloidosis yang ditularkan melalui air banjir yang tercemar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 4:20 PM