DATUK Seri Mohammad Hamdan Wahid beramah mesra bersama penerima anugerah. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Seri Mohammad Hamdan Wahid beramah mesra bersama penerima anugerah. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan membekukan cuti semua anggota sekiranya berdepan situasi banjir yang kritikal di musim tengkujuh tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, langkah itu bergantung kepada tahap kritikal di kawasan berisiko di negeri termasuk di pantai timur.

Katanya, sekiranya keadaan tidak begitu mendesak, hanya 20 peratus keanggotaan sahaja dibenarkan untuk bercuti selain mendapatkan bantuan JBPM Negeri yang tidak terjejas banjir seperti di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

"Kita akan lihat indikator keadaan banjir pada ketika itu. Jika keadaannya terlalu teruk, kita terpaksa bekukan cuti keseluruhan anggota di kawasan yang terjejas malah yang tengah bercuti akan dipanggil bekerja.

"Negeri yang tidak terkesan akan membantu di kawasan berisiko tinggi supaya tenaga kerja dan logistik mencukupi. Kita juga akan mendapatkan khidmat bantuan Bomba Komuniti dan Sukarela bagi turut membantu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Johor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohammad Hamdan, berkata seramai 12,500 orang anggota di 324 balai bomba seluruh negara sudah bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan bencana banjir pada musim tengkujuh ini.

Katanya, ia termasuk bersedia untuk memindahkan pesakit serta keperluan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan hospital di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan operasi menyelamat dan menempatkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Keadaan yang dihadapi ketika ini sangat mencabar kerana berdepan bencana dalam bencana (pandemik Covid-19). Kita kena pastikan mangsa banjir diasingkan sekiranya didapati positif Covid-19.

"SOP dalam penugasan dioptimumkan apabila anggota akan dibekalkan dengan penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE). Kita tidak mahu wujud kluster baharu disebabkan penugasan operasi yang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:12 PM