Sulaiman (kiri) melambai tangan kepada kakitangan Pejabat Ketua Menteri pada hari pertama beliau memulakan tugas di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Sulaiman (kiri) melambai tangan kepada kakitangan Pejabat Ketua Menteri pada hari pertama beliau memulakan tugas di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri hari ini. FOTO BERNAMA
Amir Mamat


Ayer Keroh: Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan berbincang dengan pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) sama ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) boleh bersama dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu atau sebaliknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu berkata, walaupun pentadbiran kerajaan Persekutuan menjalinkan kerjasama dengan PN, namun senario Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan BN bertanding secara solo perlu diambil kira.

"Saya kena bermesyuarat terlebih dahulu dan saya mesti berbincang dengan pucuk kepemimpinan parti kerana kali ini kita BN bertanding secara solo, bukan dalam kerajaan atau PN.

"Justeru, apa juga keputusan dibuat pucuk kepemimpinan parti saya akan akur," katanya selepas memasuki pejabat pada hari pertama tugasannya sebagai Ketua Menteri selepas kemenangan BN pada PRN, Sabtu lalu.

Beliau sebelum ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka selepas BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), melebihi dua pertiga kerusi pada PRN Melaka, Sabtu lalu.

Dua Adun PN yang menang dalam PRN adalah Dr Mohd Aleef Yusof di kerusi Dun Sungai Udang dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban).

Sulaiman berkata, anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang diumumkan selewat-lewatnya hujung minggu ini akan menggabungkan muka lama dan baharu.

Beliau berkata, kombinasi itu membabitkan pelantikan dalam kalangan Adun mempunyai latar belakang pendidikan serta pengalaman bersesuaian dan memenuhi keperluan semasa.

"Kita akan lihat kebolehan dan pendidikan mereka untuk agihkan portfolio mengikut kesesuaian.

"Mungkin hujung minggu ini kita akan umumkan pelantikan EXCO," katanya.

Sementara itu, Sulaiman memulakan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka dengan memasuki pejabatnya di Kompleks Seri Negeri pada 8.20 pagi.

Sulaiman, 55, tiba dengan menaiki kenderaan rasmi Ketua Menteri disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad serta kakitangan pejabat pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau kemudian mengimbas kad perakam waktu di pintu masuk pejabat pada 8.30 pagi sebelum memasuki pejabatnya bagi menghadiri upacara ringkas selain sesi bergambar bersama ketua jabatan negeri.

Ini adalah kali kedua Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) pada Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 5:53 PM