Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

EMPAT ketua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, hari ini.

Upacara ringkas diadakan di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh itu disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan.

Majlis itu didahului Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu diikuti Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Mohd Fadhil bin Hassan; YDP Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron dan YDP Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman.

Sulaiman berharap semua ketua PBT berkenaan dapat menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan cemerlang, sekali gus membantu melancarkan lagi pentadbiran negeri.

Katanya, beliau mahu mereka yang dilantik itu memberi tumpuan kepada aspek kebersihan dan landskap di kawasan pentadbiran masing-masing bagi mengembalikan semula status Melaka yang dahulunya pernah diiktiraf sebagai negeri terbersih dan terindah di negara ini.

“Ketua yang dilantik itu dianggap sebagai tiang atau benteng yang akan membantu pentadbiran saya sebagai Ketua Menteri bagi memacu lagi pembangunan di Melaka supaya menjadi lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 7:57 PM