ROSOl (kanan) menunjukkan buah Melon Manis Terengganu (MMT) di kawasan Tanaman Fertigasi MMT di Kampung Peradong, Manir. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ROSOl (kanan) menunjukkan buah Melon Manis Terengganu (MMT) di kawasan Tanaman Fertigasi MMT di Kampung Peradong, Manir. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Kenaikan harga baja dan racun sehingga 100 peratus sejak akhir-akhir ini tidak hanya membebankan petani di negeri ini, malah memberi tekanan kepada golongan itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat dengan beberapa pihak berhubung kenaikan harga baja dan racun susulan rungutan diterima daripada petani.

"Antara punca kenaikan harga dua bahan pertanian yang dikenal pasti itu ialah kerana kos pengangkutan yang meningkat sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga baja dan racun.

"Faktor kilang pengeluaran baja dan racun yang baru bermula selepas diberhentikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga menjadi punca kenaikan mendadak harga baja dan racun," katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Timbalan Menteri KPDNHEP di kawasan Tanaman Fertigasi Melon Manis Terengganu (MMT) di Kampung Peradong, Manir, di sini, hari ini.

Rosol berkata, pihaknya akan mengenal pasti langkah terbaik bagi menyelesaikan isu kenaikan harga baja dan racun yang tidak terkawal di pasaran.

"Cuma kami berharap petani bersabar sementara isu kenaikan harga dan racun itu diselesaikan segera," katanya.

Sementara itu, Halim Ismail, 30, berkata, kenaikan harga baja dan racun mendadak dan memberi tekanan kepada petani.

"Sebelum ini salah satu daripada 12 jenis baja yang digunakan untuk MMT iaitu baja MKP berharga RM180 tetapi sekarang meningkat kepada RM300 untuk 25 kilogram.

"Kenaikan harga baja dan racun yang terlalu kerap dalam tempoh sebulan merunsingkan petani.

"Kami terpaksa naikkan harga jualan MMT kerana faktor kenaikan harga baja dan racun itu, jika tidak kami tidak memperoleh keuntungan," katanya.

Menurutnya, dia dan pengusaha MMT menaikan harga MMT sebanyak RM1 untuk satu kilogram iaitu daripada RM8 kepada RM9 sekilogram.

"Tiada masalah untuk menurunkan semula harga jualan MMT itu kepada harga normal asalkan harga baja dan racun turun pada kadar harga yang berpatutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 1:17 PM