FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Kenaikan harga racun yang mendadak memberi tamparan hebat kepada petani, khususnya pesawah yang bakal memulakan musim tanaman padi bagi tahun ini.

Pesawah Abdul Malik Mohammed, 55, berkata, kerajaan disaran untuk segera mencari inisiatif baharu bagi memastikan kenaikan harga racun termasuk racun serangga dan kulat tidak membebankan pesawah.

"Nak buat bendang (sawah) sekarang pun tak semangat, semua harga racun naik.

"Racun rumput, siput, kulat dan macam-macam lagi, semua naik. Itu tak termasuk kos jentera, upah dan lain-lain.

"Jika keadaan berterusan sebegini sudah pasti pesawah akan terkesan dan tidak mustahil ada di antara pesawah akan mengubah tanaman padi kepada tanaman lain seperti kelada dan kelapa sawit yang kurang penggunaan racun," katanya dihubungi media.

Beliau berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat bertindak segera dalam memastikan nasib dan kebajikan pesawah terbela.

"Dalam keadaan sekarang, adalah mustahil harga racun akan diturunkan semula berikutan peningkatan harga pasaran dunia.

"Justeru, selain cadangan menaikkan penerimaan subsidi racun dan baja kepada pesawah kerajaan juga disaran memberi inisiatif khas untuk kepada pesawah sekurang-kurangnya RM100 sehektar bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung pesawah bagi membeli racun yang mereka diperlukan," katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria berkata, kerajaan sedang membuat perbincangan dan mengkaji beberapa cadangan bagi membantu petani dalam mengatasi masalah kenaikan harga racun yang membebankan golongan ini.

Beliau yang ditemui ketika Program Kayuhan Belia Bagan Serai di sini berkata, sehingga kini belum ada sebarang kata putus diperoleh dan perkara itu masih lagi dalam perbincangan dan tindakan.

Awal Disember tahun lalu, media melaporkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mendedahkan harga racun serangga meningkat sehingga 199 peratus, iaitu daripada RM66 kepada RM197.50.

Selain itu, racun kulat turut mencatatkan peningkatan 20.77 peratus, diikuti racun siput hampir 20 peratus, baja sebatian tiara blue (19.4 peratus), Agrobridge (19.1 peratus) dan NPK biru (14.5 peratus).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dipetik berkata, kenaikan harga racun itu adalah di luar kawalan Mafi berikutan peningkatan harga pasaran dunia, sekali gus memberi kesan langsung kepada pengeluaran ditanggung petani.

Dalam perkembangan lain, Razman menegaskan penyakit demam babi afrika (ASF) di negeri ini terkawal kerana tiada kes dilaporkan di ladang ternakan babi.

Katanya, pada Disember lalu ASF dikesan di beberapa ladang di Sungkai dan Bidor, bagaimanapun babi yang dijangkiti wabak itu sudah dilupuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 1:22 PM