Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 kepada petugas barisan hadapan hari ini.

Pengarahnya Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, penerima itu yang dalam kalangan petugas kesihatan, polis dan tentera serta agensi berkaitan akan menerima suntikan berkenaan sehingga 20 November.

Katanya, selepas tempoh itu berakhir, pihaknya akan memulakan pemberian dos penggalak kepada golongan berisiko dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

"Ramai yang memohon untuk mendapatkan dos ini tetapi kita akan panggil siapa yang layak sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau terus daripada Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program pemberian dos penggalak di PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

HAJIJI menerima suntukan dos penggalak Covid-19 sambil diperhatikan Dr Rose Nani (kiri) pada Majlis Perasmian Dos Penggalak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). FOTO Mohd Adam Arinin
HAJIJI menerima suntukan dos penggalak Covid-19 sambil diperhatikan Dr Rose Nani (kiri) pada Majlis Perasmian Dos Penggalak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). FOTO Mohd Adam Arinin

Kira-kira 40 petugas barisan hadapan menerima suntikan pada majlis itu yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Menurut Dr Rose Nani pemberian dos penggalak akan dilaksanakan di PPV yang masih beroperasi termasuk di PPV hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri.

Katanya, bakal penerima perlu sentiasa peka dengan janji temu yang akan dimaklumkan menerusi MySejahtera atau secara SMS oleh PPV bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 2:30 PM