DR Rose Nani. FOTO Paul Mu
DR Rose Nani. FOTO Paul Mu
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan mengenai kematian seorang remaja akibat vaksin di Lahad Datu yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pengarah JKNS Dr Rose Nani Mudin dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, pihaknya memandang serius aduan orang ramai mengenai mesej palsu dalam rakaman video itu.

"Adalah dimaklumkan bahawa dakwaan tersebut tidak benar kerana JKNS dan Pejabat Kesihatan Lahad Datu menafikan berlaku kematian seperti yang didakwa dan pihak kami juga telah membuat laporan polis terhadap dakwaan tersebut.

"Perbuatan individu ini boleh menimbulkan perasaan panik dan kebimbangan orang ramai terutamanya ibu bapa dan remaja yang bakal menerima suntikan vaksin.

"JKNS menyeru kepada orang ramai khususnya ibu bapa supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat yang tidak benar mengenai vaksin," katanya.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani turut menggesa agar mana-mana individu yang masih tidak memahami tentang vaksin dan memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi pihaknya.

"Daripada pemantauan JKNS, 80 hingga 90 peratus pesakit di unit rawatan rapi adalah individu yang belum divaksin. Vaksin mampu mencegah jangkitan Covid-19 dan kematian akibatnya.

"JKNS juga menyeru ibu bapa atau penjaga segera mendaftarkan remaja di bawah jagaan masing-masing di aplikasi MySejahtera dan mendapatkan vaksin segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 4:54 PM