ANTARA individu yang ditahan dalam Operasi SMARD. FOTO ihsan Pejabat Daerah Petaling
ANTARA individu yang ditahan dalam Operasi SMARD. FOTO ihsan Pejabat Daerah Petaling
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Ahli keluarga yang menyembunyikan penagih bagi mengelak ditahan pihak berkuasa antara situasi dihadapi pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ketika serbuan Program Selangor Mengawal Ancaman Realiti Dadah (SMARD) yang dijalankan di sekitar daerah Petaling, 5 hingga 7 Oktober lalu.

Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata, ahli keluarga suspek juga tidak memberi kerjasama apabila tidak membuka pintu.

"Dalam satu kes di Lembah Subang, AADK terpaksa mengetuk pintu beberapa kali dan dimarahi oleh keluarga suspek yang menyatakan suspek tiada di rumah. Bagaimanapun, dua suspek yang juga adik-beradik dikesan menyorok di bawah katil semasa pemeriksaan dan mereka ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamin.

"Situasi sama juga berlaku di Puchong apabila dua beradik iaitu remaja masing-masing berusia 16 dan 18 tahun didapati positif methamphetamin dan membuat pengakuan mengambil dadah akibat tertekan dengan keadaan keluarga dari segi faktor kewangan, kesihatan serta masalah sosial, katanya.

Johary yang juga Pengerusi SMARD Daerah Petaling berkata, 35 pegawai dan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor dan AADK Daerah Petaling terbabit dalam operasi itu dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Petaling.

Seramai 55 individu ditahan termasuk empat wanita selepas didapati positif dadah.

"Operasi itu yang bermula 11.30 malam Jumaat lalu hingga 7 pagi semalam menumpukan kepada kawasan sasaran di sekitar Mukim Damansara (Lembah Subang, Kota Damansara, Shah Alam) dan Mukim Petaling (Petaling Jaya Selatan dan Puchong).

"Dalam operasi itu, kami memeriksa 72 individu dengan 55 daripada mereka didapati positif pelbagai jenis dadah. Mereka yang positif dadah berkenaan berusia antara 16 hingga 65 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Kesemua 55 individu berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Beliau berkata, program SMARD adalah inisiatif AADK Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor bagi membanteras aktiviti permintaan dan penawaran dadah serta mengekang isu-isu pelencongan sosial di 13 kawasan berisiko tinggi di seluruh negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 5:04 PM