GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Serdang: Seorang lelaki cedera selepas terkena tembakan di sebuah bar di Bandar Puchong Jaya di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 8.45 malam itu, mangsa yang berusia 56 tahun sedang minum di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, tembakan itu dilepaskan suspek berusia 56 tahun dan mengenai pelanggan di premis terbabit.

"Mangsa mengalami kecederaan di belakang badan dan lengan kiri.

"Mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek adalah penjawat awam dan mempunyai kebenaran membawa senjata api.

"Siasatan mendapati suspek tidak mengenali mangsa dan tiada sebarang provokasi berlaku ketika kejadian.

"Suspek kini ditahan dan pistol yang digunakan ketika kejadian turut dirampas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 12:07 PM