FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Serdang: Seorang anggota polis cedera di leher selepas ditetak rakan serumahnya akibat tidak berpuas hati mangsa mengusik barang miliknya di Taman Puncak Jalil, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa bersama suspek yang juga anggota polis menyewa di rumah berkenaan sejak setahun lalu.

Sumber berkata, suspek tidak berpuas hati dan mendakwa mangsa mengusik barang miliknya yang diletakkan di rumah terbabit.

"Mangsa kemudian ditetak sebanyak dua kali di bahagian leher sebelum bertindak menghubungi polis.

"Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sedang duduk di lantai rumah," katanya.

Menurutnya, polis kemudian membuat tangkapan terhadap rakan serumah suspek yang masih berada di dalam rumah berkenaan.

"Suspek akan ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 2:27 PM