MOHAMED Azmin Ali bersama Ahmad Bilal bertemu kariah selepas menunaikan solat Isya di Surau Haji Akbar Ali. FOTO Asyraf Hamzah
MOHAMED Azmin Ali bersama Ahmad Bilal bertemu kariah selepas menunaikan solat Isya di Surau Haji Akbar Ali. FOTO Asyraf Hamzah
Ahmad Suhael Adnan


Merlimau: Perikatan Nasional (PN) masih belum dapat mengenal pasti jumlah kerusi yang berpotensi untuk dimenangi walaupun selepas seminggu tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung sejak 8 November lalu.

Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masih terlalu awal untuk memperincikan jumlah kerusi yang berpeluang menang, dan sentimen sebenar pengundi hanya boleh dilihat dalam baki tempoh berkempen.

Bagaimanapun, katanya, maklumat daripada jentera parti di lapangan mengesahkan beberapa kawasan menunjukkan sentimen yang positif kepada PN.

"Kita bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka, sudah tentu harapan kita untuk memastikan PN mendapat sokongan majoriti daripada rakyat Melaka.

"Kita lihat ada perkembangan yang cukup positif dan meyakinkan di beberapa kawasan yang sedang kita pantau ketika ini.

"Namun, sukar untuk saya maklumkan angka pada ketika ini kerana kita ada seminggu lagi (tempoh berkempen), dan ini dalam fasa pecutan terakhir untuk kita menyantuni pengundi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini kempen PN pada PRN Melaka serta jumlah kerusi yang dilihat berpotensi untuk dimenangi parti itu setakat ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN, kekal optimis dan yakin parti itu akan mendapat tempat dalam kalangan pengundi di Melaka.

"Saya optimis berdasarkan pencapaian dan kejayaan yang kita capai di bawah kerajaan PN di peringkat Persekutuan sejak tahun lalu. Rakyat Melaka akan dapat membuat keputusan terbaik untuk membentuk sebuah kerajaan Melaka yang stabil," katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin bersama calon PN di Dun Serkam, Ahmad Bilal Rahudin hadir menunaikan solat Isyak dan makan malam bersama penduduk di Surau Haji Akbar Ali di Kampung Tedong Barat, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 10:15 PM