MOHAMED Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
MOHAMED Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Perikatan Nasional (PN) menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri kerana yakin dapat menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk membentuk kerajaan negeri malam esok.

Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan sebaik saja pengumuman pencalonan itu dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, jentera pilihan raya parti mengesan peningkatan sokongan komuniti di Dun Tanjung Bidara dan Melaka secara keseluruhannya.

"Apabila kita menamakan beliau (Mas Ermieyati), kita yakin dan Insya-Allah boleh menang dan kalau hendak bentuk kerajaan perlu sekurang-kurangnya 15 kerusi.

"Itulah harapan kita apabila menamakan Mas Ermieyati secara sebulat suara semalam dan hari ini kita dapat lihat ada peningkatan sokongan kepada PN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Mas Ermieyati di Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, jika tiada satu parti pun yang mampu membentuk kerajaan negeri kerana undian yang hampir sama bagi PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), maka PN bersedia berunding.

"Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sudah menyatakan sebarang rundingan mengenai perkara itu akan hanya dilakukan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

"Yang penting sekarang kita memberikan tumpuan kepada usaha memberi keyakinan kepada pengundi supaya menterjemahkan sokongan dalam bentuk undi esok," katanya.

Ditanya undian ahli Pas kepada calon PN, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin mereka komited kepada kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya memberikan undi kepada calon PN.

"Saya yakin kematangan ahli Pas cukup istiqamah dalam perjuangan dan mematuhi keputusan yang sudah dibuat secara kolektif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 5:53 PM