Bendera  parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. FOTO ASYRAF HAMZAH
Bendera parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. FOTO ASYRAF HAMZAH
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Melaka: Esok penentu kepada landskap politik Melaka apabila 476,037 orang pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 orang pengundi berdaftar akan memilih parti yang diberikan mandat untuk mentadbir kerajaan negeri.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terpaksa dijalankan susulan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Penarikan sokongan itu menyebabkan kerajaan negeri campuran diketuai Barisan Nasional (BN) runtuh sehingga mengheret rakyat Melaka untuk sekali lagi berdepan pilihan raya di tengah kemelut Covid-19 yang masih belum reda.

Beberapa kerusi panas menjadi tumpuan dalam PRN Melaka, antaranya Tanjung Bidara, Asahan, Telok Mas, Pantai Kundor, Pengkalan Batu selain Lendu yang mempertaruhkan figura besar politik sebagai calon.

Ternyata persaingan ini membuka ruang kepada calon bertanding untuk 'melobi' sebaik mungkin undi daripada rakyat negeri ini di sebalik prosedur operasi standard (SOP) ketat dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang 12 hari berkempen bermula 8 November lalu.

Semua parti termasuk calon bebas dilihat mempunyai peluang sama rata dalam berkempen kerana perlu memanfaatkan media sosial sebagai platform menarik kepercayaan pengundi tanpa ada ceramah dan kempen konvensional.

Kini, penentu parti mana yang akan memerintah sama ada BN, Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab esok.

Sentimen rakyat yang muak dengan kemelut politik yang tidak berpenghujung ini boleh menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun, terutamanya pengundi yang tinggal di luar Melaka walaupun SPR mensasarkan 70 peratus keluar menunaikan tanggungjawab.

Bagi mereka, tidak guna menghabiskan masa, wang dan merisikokan kesihatan kerana tiada jaminan pertelagahan dan perebutan kuasa akan selesai sebaik mandat diberikan kelak.

Calon 'otai' dan muka baharu menjadi pertaruhan majoriti parti bertanding dilihat mempunyai kelebihan masing-masing dalam memenangi hati pengundi.

Semua parti juga menggunakan 'modal' yang hampir sama iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat, ekonomi, kesihatan dan pendidikan selain menawarkan kestabilan politik.

Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre berpendapat, menerusi kajian di lapangan menyatakan, peratusan keluar mengundi yang rendah, pecahan undi Melayu dan pesimisnya pengundi Cina menjadi penentu parti mana yang menang.

PH mempunyai peluang sekiranya momentum Pilihan Raya Umum (PRU-14) kembali berulang dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi dan mereka menerima undi Melayu yang signifikan serta limpahan pengundi Cina yang maksimum.

"BN mempunyai 11 kawasan yang sangat selesa untuk dimenangi iaitu Ayer Limau, Serkam, Taboh Naning, Ayer Molek, Sungai Rambai, Sungai Udang, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau dan Rim.

"Manakala PH pula selesa di tujuh kerusi iaitu Bukit Katil, Paya Rumput, Duyong, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir," kata kajian itu.

Kajin juga berkata, terdapat 10 kawasan yang sukar dibuat bacaan tepat disebabkan persaingan sengit antara calon dan terbuka kepada taktikal parti untuk memikat dan menambat pengundi di kawasan ini.

"Ia membabitkan Asahan, Kelebang, Tanjong Bidara, Pantai Kundor, Durian Tunggal, Machap Jaya, Rembia, Pengkalan Batu, Bemban dan Gadek," katanya.

Kata kajian, BN perlu mencari sekurang-kurangnya empat kerusi tambahan daripada 10 kawasan panas ini untuk melengkapkan majoriti mudah bagi memimpin Melaka.

Tambahnya, PN pula mempunyai peluang untuk membuat kejutan di Tanjong Bidara, Rembia dan Bemban.

Faktor kebolehmenangan PN di kawasan ini adalah faktor calon yang berjaya mengimbangi kekuatan calon BN atau PH.

Menurut kajian, BN mendahului dihadapan berbanding dua gabungan yang lain namun dua faktor PH berpeluang untuk menang iaitu peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus dan PN berupaya memecahkan dominasi undi Melayu milik BN.

  • Lagi berita berkaitan PRN Melaka
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 2:35 PM