Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terenggganu: Projek Kuala Terengganu Bypass yang membabitkan kos sebanyak RM220 juta dijangka siap lima bulan lebih awal iaitu pada April ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek yang sebelum ini dijadualkan siap pada September tahun ini sudah mencapai kemajuan hampir 92 peratus.

Menurutnya, projek yang dimulakan pada 2016 itu tertangguh sebelum ini disebabkan beberapa isu teknikal.

"Ia berkait dengan pengambilan tanah yang mengambil masa untuk diselesaikan, reka bentuk yang perlu disesuaikan dengan keadaan tapak dan beberapa perkara yang perlu ditambah baik serta penularan Covid-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Setakat ini, projek ini sudah mencapai hampir 92 peratus dan dijangka siap pada September tahun ini.

"Selepas mendengar taklimat daripada pasukan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor hari ini, mereka memberi komitmen untuk menyiapkan projek ini lebih awal iaitu pada April nanti.

"Saya mendoakan tidak ada lagi masalah berhubung dengan pelaksanaan dan ia dapat disiapkan awal seterusnya dibuka kepada orang ramai," katanya ketika melakukan tinjauan ke lokasi projek di sini, hari ini.

Fadillah melihat lakaran pelan Projek Kuala Terengganu Bypass ketika meninjau lokasi pembinaan hari ini. Foto Ghazali Kori
Fadillah melihat lakaran pelan Projek Kuala Terengganu Bypass ketika meninjau lokasi pembinaan hari ini. Foto Ghazali Kori

Fadillah berkata, projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik dan seterusnya menjimatkan jarak dan masa perjalanan pengguna sebanyak 30 minit dari Kuantan ke Kota Bharu atau sebaliknya.

Katanya, pelaksanaannya dapat memberi manfaat kepada 70,000 penduduk terutama di Bandar Baru Bukit Besar selain dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan membawa koridor baru pembangunan di daerah Kuala Terengganu.

Projek itu membabitkan pembinaan laluan sepanjang 5.875 kilometer bermula dari persimpangan Tok Molor, Jalan Tok Adis (T12) hingga ke Kampung Durian Burung di Jalan Persekutuan FT03 Kota Bharu-Kuala Terengganu.

Turut dibina adalah lima jejambat serta membabitkan skop menaik taraf dua persimpangan iaitu persimpangan Tok Molor dan persimpangan Tok Ku kepada persimpangan bertingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 5:39 PM