GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Melaka: Jabatan Kesihatan negeri mengenal pasti 23 orang kontak rapat kepada seorang petugas jentera sebuah parti politik yang didapati positif Covid-19 dan diarahkan untuk menjalani kuarantin.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman berkata, individu berasal dari Pahang itu berada di negeri ini sejak 1 November lalu, bagi membantu jentera partinya dalam pilihan raya di Melaka dan arahan penutupan bilik gerakan dikeluarkan bermula hari ini, memandangkan terdapat risiko penularan di lokasi itu.

"Beliau dikesan positif melalui ujian RTK-Ag di sebuah klinik swasta pada 9 November selepas mengalami gejala dan sedang menunggu keputusan RT-PCR. Semua kontak rapat dari Pahang yang juga petugas dan rakan serumah, sudah diarahkan melakukan ujian sama serta menjalani kuarantin bermula semalam.

"Siasatan juga mendapati selain daripada hanya berada di rumah sewa yang bertindak sebagai 'Call Centre', individu positif itu juga ada melawat Bilik Gerakan parti politik berkenaan di Alai," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Rusdi berkata, kompaun bernilai RM10,000 turut dikenakan kepada parti politik itu di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, kerana kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, ia berikutan tiada saringan suhu dijalankan, tiada buku rekod kehadiran disediakan dan gagal mengemukakan rekod saringan ujian RTK-Ag kendiri setiap dua hari, yang perlu dijalankan terhadap petugas atau jentera pilihan raya.

"Siasatan lanjut juga sedang dijalankan untuk mengenal pasti kontak-kontak rapat dan kontak sosial yang lain, dan selepas proses disinfeksi selesai dijalankan segala ketidakpatuhan diperbaiki, pihak berkenaan boleh membuat permohonan kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk penilaian risiko bagi membuka semula Bilik Gerakan berkenaan.

"Penularan dalam skala lebih besar boleh berlaku sekiranya pesakit positif Covid-19 terdedah dalam kalangan masyarakat dan menyebabkan kewujudan kluster baharu, justeru jabatan kesihatan memandang serius perkara yang berlaku ini dan jentera pilihan raya semua parti serta orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 9:40 PM