Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sejumlah 51 makmal kerajaan dan 43 makmal swasta mempunyai keupayaan untuk menjalankan ujian RT-PCR SARS- CoV-2 di seluruh negara dengan kapasiti ujian sebanyak 122,603 ujian sehari.

Ia satu jumlah yang tinggi berbanding kapasiti ujian RT-PCR pada Mac 2020 sebanyak 6,210 ujian sehari iaitu peningkatan sebanyak 1,874 peratus.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, berdasarkan peningkatan keupayaan itu, kapasiti ujian di setiap negeri juga ditingkatkan sepanjang tempoh berkenaan.

"Sebagai contoh, di Selangor, bilangan ujian RT-PCR yang dijalankan pada 2020 sebanyak 840,165 dan jumlah ini meningkat kepada 2.43 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Malaysia adalah antara negara pertama yang menggunakan kaedah ujian RTK-Ag SARS-CoV-2 untuk pengesanan Covid-19 di fasiliti kesihatan dan lapangan.

"Ujian RTK-Ag di Malaysia bermula pada Mei 2020. Sehingga semalam, ujian RTK-Ag SARS-CoV-2 yang dijalankan berjumlah 8,325,083 iaitu sebanyak 2,589,655 di fasiliti kesihatan kerajaan dan agensi swasta sebanyak 5,735,428," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

DR Adham menjelaskan tindakan menangani pandemik Covid-19 di Parlimen hari ini. FOTO Bernama.
DR Adham menjelaskan tindakan menangani pandemik Covid-19 di Parlimen hari ini. FOTO Bernama.

Dalam sesi penjelasan selama 55 minit itu, Dr Adham turut menyentuh mengenai pengukuhan survelan Covid-19, yang mana terdapat 35 jenis saringan yang dijalankan termasuk survelan 'influenza like-illness' (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dalam mengesan awal kes dan kontak rapat bagi membendung penularan pandemik.

Katanya, KKM juga menubuhkan 180 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara bagi mengendalikan penilaian ke atas individu yang dikesan positif selepas menjalani ujian saringan.

"Ia bertujuan mengenal pasti tahap keterukan pesakit mengikut kategori satu hingga lima bagi tujuan rawatan susulan, mengenal pasti pesakit Covid-19 di dalam kategori satu dan dua yang sesuai untuk menjalani pengasingan atau kuarantin di rumah (HSO) selama 10 hari.

"CAC juga bertujuan merujuk pesakit yang tidak memenuhi kriteria HSO ke PKRC atau pesakit yang berisiko tinggi ke hospital.

"Secara puratanya, kedatangan pesakit di setiap CAC Lembah Klang adalah kira-kira 700 hingga 3,000 pesakit sehari, manakala purata kedatangan pesakit di setiap CAC di negeri lain adalah seramai 100 hingga 500 pesakit sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 12:44 PM