TABUNG Haji.
TABUNG Haji.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat berjumlah RM2,104,543.47 bagi tahun kewangan berakhir 2020 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said berkata, bayaran zakat di Sabah mencatatkan peningkatan berbanding sejumlah RM1,774,247.05 pada tempoh sebelumnya.

"Saban tahun TH melaksanakan bayaran zakat sebagai sebahagian tanggungjawab sebuah organisasi Islam yang prihatin dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah bagi manfaat khususnya golongan asnaf di Sabah.

"TH berharap pembayaran zakat ini dapat dimanfaatkan oleh MUIS ke arah kemampanan program dirangka bagi kelestarian ekonomi golongan asnaf," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan replika cek kepada Timbalan Yang Dipertua MUIS, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad sambil disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Pejabat Ketua Menteri Sabah di Kota Kinabalu.

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengarah TH Sabah, Yusdi Nasip.

Nurlaila berkata, pihaknya turut menyerahkan van menerusi Program Mobiliti yang julung kali diadakan, bulan lalu.

Menurutnya, TH memperuntukkan RM18.7 juta bagi melaksanakan beberapa program bagi membantu golongan asnaf, warga emas, ibu atau bapa tunggal dan orang kurang upaya selain menyediakan bantuan kewangan untuk pelajar asnaf di beberapa universiti awam serta institusi terpilih, tahun ini.

"Sepanjang tahun lalu, TH sudah melaksanakan pelbagai program zakat bersasar khususnya kepada golongan memerlukan melalui pengagihan bagi tujuan pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan.

"Inisiatif itu juga membolehkan TH menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat yang memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 6:54 PM