GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Setiap waris keluarga kepada pesakit Covid-19 meninggal dunia di Sabah akan diberikan bantuan sekali bayar (one-off) sebanyak RM1,000.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan mengenal pasti waris berkenaan.

"Kerajaan negeri menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi bantuan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Penyerahan Pakej Bantuan Covid Majlis Ugama Islam Sabah bertempat di Masjid Negeri Sabah, di sini, semalam.

Selain itu, Mohd Arifin berkata, Muis akan mengagihkan sebanyak 4,000 bakul makanan kepada golongan asnaf yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, membabitkan peruntukan berjumlah RM300,000.

"Golongan asnaf ini akan dikenal pasti oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di setiap daerah," katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, seramai 9,800 orang penerima bantuan bulanan (asnaf fakir) yang terkesan disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 yang berdaftar di bawah Muis akan menerima bantuan tambahan sekali bayar sebanyak RM150, membabitkan peruntukan RM1.47 juta.

Menurutnya, asnaf dan fakir terbabit adalah golongan yang menerima bantuan bulanan daripada Bahagian Zakat dan Fitrah Muis, berjumlah antara RM200 hingga RM300 setiap bulan.

"RM150 ini adalah bantuan tambahan sekali bayar kepada mereka berikutan PKP 3.0," katanya.

Selain itu katanya, bantuan khas sekali bayar berjumlah RM500 juga diberikan kepada petugas mesra ibadah yang terbabit dalam menguruskan jenazah.

Mengulas lanjut, Mohd Arifin juga berkata, dianggarkan seramai 280 orang petugas mesra ibadah seluruh Sabah akan menerima bantuan khas terbabit yang membabitkan peruntukan sebanyak RM140,000.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 8:57 AM