BUNGSU (kiri) menunjukkan kadar jumlah zakat sebanyak RM7. FOTO ihsan Muis
BUNGSU (kiri) menunjukkan kadar jumlah zakat sebanyak RM7. FOTO ihsan Muis
Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) mengumumkan kadar zakat fitrah sebanyak RM7 dikenakan di Sabah bagi tahun ini.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, kadar zakat ditentukan berdasarkan sukatan satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras dimakan majoriti penduduk di negeri itu.
Dalam satu kenyataan media mengenainya, Bungsu berkata, Muis melantik 39 penyelaras amil dan seramai 2,000 amil untuk menyelaras serta memungut zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

"Pada tahun lalu, kadar kutipan zakat keseluruhan diperoleh berjumlah RM101,170,120.53.

"Bagi zakat fitrah, jumlah keseluruhan diperoleh adalah RM10,835,184.10 manakala zakat harta berjumlah RM90,334,936.43.

"Di bawah zakat harta, antara jenis zakat yang diperolehi ialah zakat pendapatan, penggajian, simpanan, perniagaan, emas atau perak, saham, pertanian dan juga ternakan membabitkan seramai 69,047 orang pembayar," katanya.

Dalam pada itu, Bungsu berkata, Muis memperuntukkan RM10.4 juta untuk diagihkan kepada golongan memerlukan di Sabah sepanjang Ramadan tahun ini.

Beliau berkata, sebanyak RM9 juta akan diagihkan untuk golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf bagi menggembirakan hati mereka dan sebagai persediaan untuk menyambut 1 Syawal.

Menurutnya, sebanyak RM1.4 juta akan diagihkan kepada 2,000 amil fitrah sebagai upah amil yang bertugas memungut dan mengagihkan zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini.

"Sebanyak RM88,575,346.45 diagihkan untuk 84,003 penerima pada tahun lalu membabitkan golongan seperti fakir, miskin, mualaf, amil, Al-Riqab, Al-Gharimin, Ibnu Sabil dan Fisabilillah.

"Bagi tahun ini pula, kita merekodkan jumlah keseluruhan penerima asnaf fakir, miskin, mualaf dan amil fitrah adalah seramai 44,018 orang.

"Golongan asnaf fakir adalah seramai 9,613 orang, asnaf miskin 30,609 orang, asnaf mualaf 1,794 orang manakala asnaf amil fitrah pula seramai 2,000 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 12:32 PM