BENDERA Pakatan Harapan dipasang bagi PRN Melaka di Merlimau. FOTO Asyraf Hamzah
BENDERA Pakatan Harapan dipasang bagi PRN Melaka di Merlimau. FOTO Asyraf Hamzah
Ahmad Suhael Adnan


Melaka: Pakatan Harapan (PH) yakin mampu menawan sekurang-kurangnya tujuh daripada 11 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk merampas kerusi disandang Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Datuk Halim Bachik berkata, tujuh kerusi itu termasuk tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu Machap Jaya, Rembia dan Klebang.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan maklum balas positif diterima daripada pengundi, termasuk keyakinan mereka kepada calon yang diletakkan PH di semua kawasan berkenaan.

"Pada PRU14 yang lalu, kita (PKR) menang tiga daripada lapan kerusi. Dalam PRN kali ini, kita yakin mampu menambah sekurang-kurangnya empat lagi kerusi, menjadikan tujuh daripada 11 kerusi DUN.

"Tujuh kawasan yang kita yakin menang itu adalah Paya Rumput, Asahan, Rim dan Lendu, selain Machap Jaya, Rembia dan Klebang yang kita menang pada PRU14," katanya pada sidang media secara maya di sini, hari ini.

Selain tujuh kerusi itu, PH turut bertanding di Tanjung Bidara, Sungai Udang, Ayer Molek dan Sungai Rambai.

Pada PRU14, Sulaiman yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang di DUN Lendu selepas meraih majoriti 627 undi, menumpaskan Ridhuan Dion Bakar (PKR), dan Arshad Mohd Som (PAS).

DUN Lendu menyaksikan saingan tiga penjuru antara Sulaiman dengan calon PH, Mohamad Asri Ibrahim dan calon Perikatan Nasional (PN), Abdullah Mahadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 1:46 PM